Langkau ke kandungan

Rumah Musim

PuisiAsrar3 min bacaan344 perkataan48 baris9 rangkap

Nota Penulis

Puisi ini bermula daripada satu gambaran tubuh yang intim, lalu dialihkan menjadi bahasa alam dan “rumah” sebagai simbol tertib diri. Di pengakhirannya, gelora surut dan yang tinggal ialah jejak ingatan seperti embun pada batu.

ada celahan bayangan yang mengekori langkahan kita, sejak lama,
sejak bukit terpisah membuka ruangan tidak disebut namanya;
di situ gumuk kirana hangat menyapa,
dan lembut meluncur ke lembah tampus yang silu.

antara teduh tanah dengan riak cahaya,
antara jerau yang kembang dengan kebam yang meresap,
antara jahang yang menjejak dengan tarum yang memekat,
segala gerak menyatu pada satu pusat rasa, beransur-ansur.

lihatlah, pintu beludru bertatah mutia itu terbuka,
dengan helaan yang halus, dengan timbang yang cermat;
pawana manis menghembus asrar,
mawar jerau kembang dalam demam halus,
sutera basah menitik kilauan hujan,
denyut kencana pada kulit, merindu pada desir malam,
dan dunia menjadi dekat dalam ukuran terjaga.

benang ratna perak terbit dari mata air rahsia,
beralun lambat, melekit hangat,
lepas lunak, titisan bulan menjejak alur jahang,
sejuk menyentuh bara, desis diam mendarat,
di obsidia, silau wilis reda pada tasik gelap,
seolah-olah malam menyimpan cahaya pada dasar yang beralur.

lihatlah, di dunia ini ada rumah yang terbit daripada musim,
tiangnya daripada ratna yang menahan getaran,
lantainya daripada obsidia yang menadah pantulan,
dindingnya berselaput kebam embun yang setia melekat,
atapnya daripada tarum tua yang memekatkan langit,
dan tiap sudutnya mengajar kita cara merendahkan suara.

ingatlah, di dalam rumah itu ada ruangan-ruangan yang bernafas,
di kamarnya ada gerimis halus bersulam rindu,
di dapurnya ada madugaram memekat pada hujung rasa,
di serambinya ada bau tanah menguar dari akar basah,
di tangganya ada degupan belajar tenang di dada,
dan di ambangnya ada mata yang mahu jernih tanpa berpaling.

nektar bertakhta di jantung rindu, manikam sungai,
bintang tawanan dalam tarum pekat, langit tanpa cahaya,
bara terkurung memantul dalam api gua,
mengutik lidah, maduliar pada daun,
seolah setiap hal kecil memegang rahasia besar.

(usah dibiarkan kuasa dan nafsu mengambil tempat,
usah dibiarkan sumbu menuntut api tanpa ukur;
jelaga menebal pada udara,
dan dunia menjadi berat untuk ditanggung nafas.)

kemudian, hening turun menipis ke lantai rumah musim,
madugaram surut, tinggal jejak pada hujung rasa,
di obsidia, sisa bulan berkumpul hangatnya susut,
mawar jerau merapat kelopak, tarum menutup langit,
degupan belajar diam, nafas pulang ke dada,
dan dunia menyimpan ingatan, seperti embun di batuan.

Share